Monday, May 4, 2009

Sejarah Desasiswa Murni USM

Desasiswa Murni


Pusat Pengajian Sains Perubatan telah dibuka di Kubang Kerian Kelantan pada tahun 1983.


Sehubungan dengan itu pelajar-pelajar dari jurusan ini telah berpindah dari Kampus Induk, Pulau Pinang ke Desasiswa yang baru iaitu Desasiswa Murni. Bermula dengan dua bangunan yang berbentuk L berhampiran dengan bangunan Pusat Mahasiswa, blok asrama tersebut dikenali sebagai DM1 Dan DM2. Relajar lelaki ditempatkan di bangunan DM1 dan Perempuan di bangunan DM2.


Penggawa yang pertama ialah Prof. Madya Abdul Rahman bin Isa, seorang pensyarah dari Pusat Pengajian Sains Perubatan bertugas dari tahun 1983 - 1991. Penggawa yang kedua ialah Encik Rahmatullah Khan dari tahun 1991 - 1993 diikuti oleh Profesor Ahmad bin Zakaria dari 1993 - 2007 dan Penggawa sekarang ialah Dr. Rushdan Ismail.


Pejabat Desasiswa Murni ditempatkan di bangunan Pusat Mahasiswa atau dikenali sebagai bangunan HEP pada masa itu. Bagi urusan pentadbiran harian, terdapat seorang Penolong Pengurus Asrama yang dibantu oleh kakitangan yang lain iaitu seorang pembantu tadbir, seorang pembantu tadbir rendah dan empat orang pekerja rendah awam.


Penggawa juga dibantu oleh dua orang Penolong Penggawa untuk membantu dalam urusan kebajikan dan kesejahteraan para pelajar. Mereka yang pernah bertugas sebagai Penolong Penggawa adalah Dr. Yahya Hassan, Dr. Fauziah Desa, Dr. Zabidah Ismail dan Tuan Haji Yusoff Abdullah. Penolong Penggawa yang masih bertugas sekarang ialah Dr. Noreen Nurfarahin Lee Abdullah, Encik Mohd Saberi Mohd Yusof, Dr. Raja Norazman dan Cik Mirawati.


Kursus Diploma Teknologi Makmal Perubatan telah ditawarkan pada awal tahun 90-an, ini menambahkan bilangan pelajar yang sedia ada. Pada masa yang sama, pelajar-pelajar Farmasi tahun akhir menjalankan ‘internship’ di Hospital Universiti Sains Malaysia. Keperluan untuk sebuah bangunan baru dikenalpasti dan pada tahun 1990 bangunan DM3 telah dibina untuk menampung bilangan pelajar yang semakin bertambah. Bilangan pelajar perempuan semakin meningkat berbanding dengan pelajar lelaki, oleh itu bangunan DM1 dan DM3 digunakan untuk menempatkan pelajar wanita dan bangunan DM2 untuk pelajar lelaki.


Pada pertengahan tahun 1990-an, satu lagi kursus baru diperkenalkan iaitu Diploma Kejururawatan diperkenalkan. Keperluan untuk sebuah lagi bangunan baru dikenalpasti dan pada tahun 1993, bangunan DM4 telah dibuka untuk kegunaan pelajar. Walaupun dengan pembinaan bangunan baru, pengurusan Desasiswa Murni masih lagi tidak dapat menampung bilangan pelajar yang semakin bertambah. Perbincangan dibuat dengan pihak Hospital Universiti Sains Malaysia untuk mendapatkan bangunan Blok A dan Blok B yang sebelum ini menempatkan jururawat pelatih. Tempat jururawat pelatih ini telah diambil alih oleh pelajar Diploma Kejururawatan. Desasiswa Murni sekarang mempunyai 6 buah bangunan iaitu DM1, DM2, DM3, DM4, Blok A dan Blok B untuk menampung pelajar dalam 1200 orang dalam pada tahun 1997.


Sejajar dengan bilangan pelajar yang bertambah, bilangan kakitangan di Desasiswa Murni juga turut bertambah dari 4 orang Pekerja Rendah Awam kepada 8 orang. Walau bagaimanapun bilangan tersebut dikurangkan semula kepada empat orang apabila Desasiswa Murni menswastakan pencucian bangunan pada tahun 1998. Bermula dengan bangunan DM3 dan seterusnya diikuti dengan bangunan yang lain. Kakitangan yang sedia ada diserap masuk ke jabatan-jabatan lain yang lebih memerlukan.


Setelah kursus Diploma Kejururawatan diberhentikan pada tahun 2000, bangunan Blok A telah diserahkan kepada pengawasan Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar untuk dinaiktaraf sebagai Rumah Antarabangsa di Kampus Kesihatan. Dalam masa yang sama sebuah Desasiswa baru telah dibina bersebelahan dengan bangunan Blok B yang kemudiannya dinamakan sebagai Desasiswa Nurani.

Setelah Desasiswa Nurani beroperasi pada tahun 2002, bangunan Blok B juga turut diserahkan kepada pengurusan desasiswa tersebut. Desasiswa Murni kembali mempunyai empat buah bangunan asal seperti mana yang terdahulu iaitu hanya dengan 4 bangunan sahaja.


Walaupun mempunyai dua pengurusan yang berbeza untuk dua buah desasiswa, hanya terdapat seorang penggawa yang dibantu oleh empat orang penolong penggawa. Untuk sebarang aktiviti yang disertai akan dikenali sebagai Desasiswa Murni Nurani. Desasiswa Murni Nurani telah dipecahkan dengan rasminya pada 1hb November 2008 dengan setiap desasiswa mempunyai penggawa sendiri.